Thursday, April 7, 2016

MUTIARA KATA perihal KEHIDUPAN PAK HAMKA

MUTIARA KATA perihal KEHIDUPAN PAK HAMKA



 Mutiara Kata HIDUP & KEHIDUPAN - Pujangga Pak HAMKA


Pujangga Pak HAMKA bermadah :
(Petikan dari Alam Muiara Kata)
  • Bangsa yang tidak bercita-cita akan berkata:"Biar tidak merdeka asal cukup makan". Hidup yang begini sama harga hidupnya dengan binatang. Tetapi bangsa yang subur rohaninya akan berkata: " Biar kurang makan asal tetap meredeka".
  • Orang yang hendak hidup sendiri itu ertinya hendak membunuh diri. Dan takut mati itu adalah kematian sejati.
  • Susah dan senang adalah dua perhiasan dunia yang yang silih berganti. Kesenangan dan kesusahan itu masing-masing ada ajalnya, ajal yang tidak dapat ditentukan benar kejadiannya, disangkakan panas hingga ke petang, kiranya hujan ditengah hari.
  • Kesalahan dalam pandangan hidup seorang Islam harus dituruti dengan kebajikan. Walau bagaimanapun naik dan turun, benar dan salah ketika hidup ; belum boleh diambil sebagai kesimpulan, melainkan pada saat akhir.
  • Kehidupan adalah satu giliran , di antara senyum dan ratap. Air mata itu pula adalah masin, kerana ia adalah garam kehidupan.
  • Di antara dasar kepercayaan hidup dengan perjuangan; hidup laksana jalinan tali dipukat, berpadu laksana paduan minyak dan air dalam susu.
  • Hidup tidak selalunya manis, melainkan pergantian di antara pahit dan manis. Kalau manis saja yang bertemu, tentu kita tidak akan sabar dan bosan.
  • Alangkah baiknya jika badan sedang sihat , otak segar, kita akan mengingati kampung yang kita diami sekarang ini. Kalau Kampung itu dapat diingati, nescaya kita tidak akan menegakkan gedung angan-angan yang menjulang langit, di atas tanah kenyataan yang penuh rawa.
  • Kehidupan ini seluruhnya diikat dengan janji. Mengakui sebagai hamba Allah, ertinya akan menepati janji dengan Allah. Mungkir janji dengan manusia pun bererti memungkiri janji dengan Allah.
  • Tujuan hidup itulah yang menentukan nilai hidup , bukan berapa lama hidup yang dipakai.
  • Orang yang tidak mengingati hari depan iatu akhirat, akan habislah hidupnya dalam rasa tidak puas.
  • Hidup sesuatu umat dinyawai oleh 'nilai hidup' umat itu sendiri, oleh naik turun atau runtuh akhlaknya.
  • Kehidupan adakalanya naik dan adakalanya turun, kumpulan itulah yang dinamakan irama hidup.
  • Banyak bekerja badan sakit. Banyak berfikir otak penat. Banyak berjalan kaki penat. Sebab itu, disamping bekerja wajib istirehat. Hidup ini sendiri adalah satu kepenatan.
  • Hidup itu adalah pergantian hujan dan panas, suka dan duka, senang dan susah.
  • Ada beberapa pengalaman dalam hidup kita ini, mulanya kita sangka buruk , tetapi telah sampai kepada penghujungnya barulah kita mengerti bahawa awal yang buruk itu adalah berakhir yang baik.
  • Orang yang berfikir dan merenungkan diri dan menilai hidup, mudah memperbaiki tujuan hidupnya sendiri.
  • Pertukaran haluan hidup daripada kejahatan kepada menurut suara batin yang murni adalah kesenangan batin yang tiada taranya.
  • Kehidupan adalah pergantian hidup dan senang, naik dan turun. Mana yang tertentu buat kita, tidaklah dapat dipindahkan kepada orang lain dan yang tertentu bagi orang lain tidaklah akan pindah kepada kita.
  • Islam menyatakan bahawa perjalanan yang ditempuh dalam hidup ini , bagaimana baik maksud dan tujuannya, jika Allah tidak mengizinkan, tidak akan tercapai.
( Sebab itu disarankan kita banyak berdoa kpdNya.. supaya dapat diubah takdir yg telah ditetapkan olehNya ..betulkan..Betul. )
  • Kehidupan di dunia ini adalah laksana lautan yang jarang tenang. Airnya beriak terus, bergelombang dan berombak. Kesusahan terletak dalam kemudahan dan kemudahan pun terletak dalam kesusahan.
  • Hidup adalah perjuangan, sekali ombak naik , sekali ombak turun. Kadang-kadang kita memukul dan kadang-kadang kita dipukul:
Tiba giliran menjadi palu, hendaklah pukul habisan-habisan;
Tiba giliran jadi landasan, tahan pukulan biar bertalu.
  • Hidup di dalam dunia ini laksana orang keenakan dalam kapal besar belayar di samudera luas ( The Titanic ! ) . Terasa indahnya ombak yang bergulung-gulung itu. Maka rasailah kelazatan pelayaran. Tetapi keindahan yang dirasa itu sangat terbatas yakni sebatas kapal. Tak usah kita lompati laut itu kerana hendak merasai lazatnya kehidupan laut, lebih baik lihat saja!
( Yang Benar dan Nyata tiada siapa boleh menduga .. kapal Titanic yang begitu gah tu.. akhirnya musnah , tenggelam , hanya disebabkan satu ketulan ais....kerana keangkuhan manusia mengatasi Maha PenciptaNya... tentu kita boleh dapat iktibar dari musibah ini.. kan.. ada hikmah disebalik suatu kejadian . ..)
  • Bahawa manusia itu bukanlah didatangkan Tuhan ke dunia ini hanya untuk semata-mata datang. Bahkan ditunjukkan pula kepadanya jalan mana yang mesti ditempuhnya, agar dia selamat. Kerana hidup pasti diakhiri mati. Dan perjalanan bukanlah semata-mata sehingga mati sahaja. Selepas mati ada lagi sambungan hidup iaitu hari kebangkitan, yang bernama Hari Kiamat.
- Hamka , Tafsir Al-Azhar.



No comments: