ROHANI ABDUL KARIM (empat dari kiri) bersama melawat tapak promosi selepas merasmikan Kempen Jimat++ Mamee-Double Decker bertemakan Ibu Lebih Arif di Pasar Raya Mydin USJ Subang Jaya, Selangor, semalam. UTUSAN/NASIRUDDIN YAZID
KUALA LUMPUR 7 Sept. – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memperkenalkan Hari Datuk dan Nenek yang bakal disambut buat pertama kali di negara ini pada 4 Oktober ini.
Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, sambutan tersebut diadakan bagi menghargai serta mengiktiraf pengorbanan dan peranan penting golongan itu dalam memperkasa institusi keluarga di negara ini.
Menurut beliau, Hari Datuk dan Nenek atau Grandparents Day yang diilhamkan bersama oleh pihak kementerian dan Persatuan Kebajikan Usiamas Malaysia (Usiamas) itu akan menjadi acara tahunan yang bakal disambut pada setiap Ahad minggu pertama dalam bulan Oktober.
“Hari Datuk dan Nenek telah di- sambut pertama kalinya di Poland pada tahun 1964, diikuti dengan beberapa negara lain termasuk Singapura dan pihak kementerian amat berbesar hati menjayakan inisiatif Usiamas ini untuk turut menyambut hari istimewa itu di negara ini.
“Pelbagai program akan diatur bagi memperkenalkan sambutan ini kepada seluruh masyarakat antaranya rakaman foto wajah seiras tiga generasi, pemeriksaan kesihatan serta pelbagai lagi dan menariknya pada tahun ini Hari Kanak-Kanak, Hari Warga Emas dan Hari Datuk dan Nenek ini akan disambut dalam tiga hari berturut-turut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kempen Jimat++ Mamee-Double Decker bertemakan Ibu Lebih Arif di Pasar Raya Mydin USJ Subang Jaya dekat sini, hari ini.
Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Mamee-Double Decker (M) Sdn. Bhd., Tan Sri Pang Tee Chew dan Pengarah Sumber Tenaga Manusia Mydin Mohamed Holdings Berhad, Datin Dr. Siti Hawa Mohd.
Dalam pada itu, Rohani berkata, pihaknya menyambut baik usaha Mamee-Double Decker meraikan golongan ibu dalam mempromosikan tawaran penjimatan menarik produk makanan berkualiti buatan Malaysia itu.
“Peranan kaum ibu tidak ubah seperti ‘menteri kewangan’ dalam menentukan perbelanjaan seharian keluarga dan apa yang dilakukan syarikat ini membuktikan mereka benar-benar prihatin akan keperluan serta kehendak penggunanya secara holistik.
“Syarikat lain wajar mencontohi Mamee-Double Decker dan Pasar raya Mydin yang sentiasa memberikan nilai terbaik atas setiap sen dibelanjakan oleh pengguna,” katanya.
No comments:
Post a Comment