Untuk beberpa hari ini kita tak lari daripada berdepan dengan Fenomena Alnino..
El-Nino Punca Cuaca Bercelaru
Kecelaruan dan perubahan cuaca dunia
yang tidak menentu lewat kebelakangan ini memberi petanda bahawa
fenomena El-Nino (yang juga dikenali sebagai ‘si anak kecil' dalam
bahasa sepanyol) berulang kembali. Namun kehadirannya pada kali ini
tidaklah seteruk yang pernah berlaku pada tahun 1997-1998 (yang telah
menyebabkan berlakunya jerebu, kemarau dan kepanasan yang melampau
dengan suhu meningkat melebihi 40 darjah Celsius) dan dikatakan yang
paling buruk pernah berlaku sejak 150 tahun yang
lampau.Walaubagaimanapun, ia tidak bermakna kita boleh memandang sepi
sahaja hal tersebut kerana walaupun ia tidaklah seteruk yang pernah
berlaku sebelum ini, namun kita tetap merasai bahangny
Buktinya sepanjang tempoh musim kemarau
yang sedang melanda sekarang ini, kita telah menyaksikan empat kebakaran
hutan besar yang berlaku di negeri Pahang melibatkan kawasan di Hutan
Simpan Ramin (Pekan), ladang Lembaga Kemajuan Perusahaan Pertanian
Pahang (Jalan Kuantan-Pekan), hutan berhampiran Sekolah Menengah
Kebangsaan Bistari (Sri Pekan) dan kawasan hutan di Kampung Sungai Ular
(Gebeng). Kebakaran tersebut melibatkan luas keseluruhan hutan sebanyak
83 hektar. Walaupun kebakaran berkenaan masih pada tahap terkawal, namun
ia tidak boleh dipandang enteng. Sebaliknya ia sebagai peringatan
kepada kita agar lebih berhati-hati dan berusaha mengelak daripada
melakukan pembakaran terbuka lebih-lebih lagi dalam keadaan cuaca panas
yang kering kontang seperti sekarang.
Malah, adalah tidak
mustahil jika fenomena El-Nino pada kali ini akan menjadi bertambah
buruk. Justeru, dalam menghadapi suhu panas kering dek kehadiran
El-Nino, kita perlulah sentiasa berwaspada agar tahap kesihatan kita
tidak terjejas. Ini memandangkan dalam keadaan cuaca yang panas kering
dan tidak menentu seperti sekarang, kita akan lebih mudah terdedah
kepada penularan wabak penyakit. Selain itu, langkah-langkah sewajarnya
juga perlu diambil agar kita sentiasa dalam keadaan bersedia menghadapi
sebarang kemungkinan yang bakal berlaku kesan daripada fenomena El-Nino
sama adakesan ke atas tahap kesihatan mahupun kesan terhadap alam
sekitar. Langkah berjaga-jaga adalah penting bagi mengelakkan ‘krisis'
lampau dek penangan El-Nino berulang kembali kepada kita.
Jika diimbas kembali, kehadiran El-Nino
pada tahun 1997 dan 1998 serta tahun-tahun sebelumnya iaitu pada tahun
1982 dan 1983, ia begitu memeritkandan sewajarnya dijadikan pengajaran
kepada kita. Ini kerana fenomena El-Nino pada ketika itu telah
menyebabkan dunia secara keseluruhannya berada dalam kecelaruan dan
sering diancam bencana alam yang tidak putus-putus. Malah, keadaan panas
terik dengan jumlah hujan yang minimum yang dialami oleh negara kita
pada waktu itu telah mengheret kita kepada krisis air terburuk dan
menyebabkan kita kerugian berjuta-juta ringgit ekoran tanaman yang tidak
menjadi sehingga telah menimbulkan kekalutan dalam pasaran komoditi
dunia. Ia merupakan pengalaman ngeri yang pernah kita alami kesan
daripada fenomena El-Nino dan pastinya kita tidak ingin mengalaminya
sekali lagi.
Kesan daripada
El-Nino bukan sahaja boleh menjejaskan tahap kesihatan dan produktiviti
tanaman, malah lebih buruk lagi ia turut menjejaskan keseimbangan
pelbagai ekosistem di dalam alam sekitar. Salah satu daripada ekosistem
yang akan turut menerima tempias dek kesan El-Nino ialah ekosistem
marin. Dalam konteks ini, jika kesan El- Nino tidak dapat ditangani
dengan sewajarnya ia boleh memusnahkan plankton yang merupakan makanan
utama hidupan laut yang seterusnya akan turut menjejaskan industri
perikanan negara. Apabila industri perikanan terjejas, maka sudah pasti
bekalan sumber protein utama kita juga akan turut terjejas.
Selain itu, cuaca
panas kering yang melampau juga boleh mengundang risiko kebakaran yang
lebih dasyat lagi seperti yang pernah terjadi semasa El-Nino pada tahun
1997 dan 1998 yang menyaksikan hutan di Indonesia musnah teruk ekoran
kebakaran yang berlaku. Kebakaran tersebut turut memberi kesan yang
besar kepada negara-negara serantau dan Malaysia juga tidak terkecuali.
Lebih buruk lagi, ia telah membawa kepada berlakunya pelbagai penyakit
yang berkaitan dengan pernafasan. Keadaan menjadi bertambah meruncing
apabila kebakaran yang berlaku itu telah mengakibatkan pencemaran udara
yang teruk kepada negara-negara serantau.
Bahkan, keadaan
pencemaran menjadi lebih serius ditambah pula dengan musim panas yang
berpanjangan pada ketika itu sehingga menyumbang kepada masalah jerebu
yang teruk yang mengakibatkan mutu kesihatan awam terjejas, di samping
turut mengurangkan jarak penglihatan. Masalah jerebu yang melanda negara
pada ketika itutelah menyebabkan hampir seluruh negara seolah-olah
diselubungi asap. Malah, keadaan berjerebu tersebut sangat membimbangkan
sehingga menyebabkan indeks pencemaran udara (IPU) pada ketika itu
meningkat secara mendadak sehingga ke paras yang sangat bahaya.
Melihat kepada
kesan-kesan negatif yang mungkin dialami daripada fenomena El-Nino,
adalah wajar sekiranya langkah berjaga-jaga diambil bagi menyedia dan
mempersiapkan diri untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang bakal
berlaku kesan daripada fenomena tersebut. Sementelah lagi apabila pakar
kaji cuaca meramalkan bahawa El-Nino akan bertambah buruk pada
tahun-tahun yang mendatang. Malah kehadiran El-Nino setiap dua hingga
tujuh tahun sekali di selatan Pasifik jelas menggambarkan bahawa keadaan
cuaca dunia semakin tidak menentu dan kemungkinan berlaku lebih banyak
lagi kejadian bencana alam di seluruh dunia adalah tidak mustahil jika
ianya terus berlarutan. Walaupun fenomena El- Nino pada kali ini hanya
berada pada kategori sederhana atau lemah, namun sebarang kemungkinan
boleh berlaku.
Justeru, dengan persediaan mantap yang
diambil setidak-tidaknya kesan El-Nino dapat dihadapi dan ditangani
dengan baik terutamanya dalam menjamin bekalan air sentiasa mencukupi,
di samping memastikan sektor pertanian dan perikanan tidak terjejas
teruk. Fenomena ini merupakan salah satu daripada fenomena alam yang
tidak dapat dielak, maka langkah berjaga-jaga adalah yang terbaik agar
kita tidak terkesan teruk lantaran fenomena tersebut.
Memandangkan sejak
kebelakangan ini ramalan atau jangkaan yang diberikan oleh para saintis
atau pakar kaji cuaca sering tersasar dan tidak sama dengan keadaan
sebenar fenomena tersebut berlaku, maka teknologi canggih yang sedia ada
untuk membuat ramalan kedatangan fenomena ini juga perlulah diperkemas
dan dimantapkan lagi. Ini bagi membolehkan maklumat awal berhubung
kedatangan fenomena berkenaan dapat disampaikan secara tepat kepada
seluruh penduduk dunia. Hebahan maklumat yang tepat adalah penting bagi
memastikan penduduk dunia lebih bersedia dalam memperlengkapkan diri
menghadapi kemelut fenomena El-Nino untuk jangkamasa yang agak panjang
dan tidak terkesan teruk dek fenomena tersebut.
No comments:
Post a Comment