Monday, December 14, 2015

Hukum pemakanan Islam...sekadar rujukan dan renungan..

Hukum pemakanan Islam

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Sebahagian daripada siri 
Fiqh Islam

(suatu disiplin kajian Islam)
Bidang-bidang

Hukum pemakanan Islam memberikan satu set peraturan yang menentukan makanan yang halal dimakan oleh Muslim.

Huraian[sunting | sunting sumber]

Fiqh telah menetapkan makanan yang halāl dan yang harām. Makanan halal boleh dijelaskan dengan sesuatu bahan makanan yang suci dan baik di samping tidak melanggari syariat Islam sewaktu mendapatkan dan menggunakannya. Arak, khinzir serta anjing adalah contoh makanan yang telah ternyata tidak dihalalkan oleh syarak (haram) untuk memakannya. Ini adalah berdasarkan pada peraturan yang ditemui dalam al-Qur'an, kitab suci Islam. Peraturan lain ditambah kepada ini dalam fatwa olehMujtahid dengan berbagai peringkat ketegasan, tetapi mereka bukan sentiasa dipegang sebagai berautoritatif oleh semua. Menurut al-Qur'an, satu-satunya fokus yang secara jelas diharamkan adalah daging dari haiwan yang mati sendiri, darah, daging babi, dan haiwan yang didedikasikan selain untuk Tuhan.(Al-Qur'an 5:3).
Perkara berhubung Halal dan Haram telah diperjelaskan dengan begitu nyata dalam al-Quran. Setiap sumber makanan, sumber pendapatan, bahan keperluan harian dan sebagainya, wajib Halal. Dalam Islam tidak ada istilah ‘Separa Halal’, ‘Separuh Halal’ atau ‘Gred Halal dengan 3 Bintang’ atau sebagainya. Setiap bahan dan sumbernya perlulah 100% Halal malah suci dan baik dan tidak menimbulkan rasa was-was atau keraguan mengenai status Halalnya. Ini adalah kerana setiap sumber yang haram akan menjadi darah daging dan akan menjejaskan amalan, doa dan personaliti dalaman dan luaran seseorang.
Dalam kita membincangkan konsep Haram, ia bukan sahaja meliputi makanan yang tidak mengandungi khinzir, malah ia meliputi konsep yang lebih luas lagi seperti sumber pendapatan, cara hidup dan lain-lain lagi. Malah haram bagi umat Islam sesuatu barangan atau perkhidmatan itu, jika ia dicari dengan cara seperti mencuri dan menyalahi aturan penggunaannya dalam konsep undang-undang Islam.

Sumber bahan makanan dan minuman[sunting | sunting sumber]

Sumber utama makanan dan minuman manusia adalah dari haiwan, tumbuh-tumbuhan, bahan semulajadi, bahan kimia dan mikro-organisma yang mana ada di antaranya yang dihalalkan dan ada yang diharamkan.

Haiwan[sunting | sunting sumber]

Haiwan boleh dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu;
  • a) Haiwan Darat.
  • b) Haiwan Air.

Haiwan darat[sunting | sunting sumber]

Semua haiwan darat (mamalia maun @ mamalia herbivor) seperti lembu, rusa, kambing dan sebagainya, serta keluarga burung yang tidak beracun dan muncung paruhnya tumpul dan bengkok seperti itik,ayam,burung puyuh dan sebagainya halal dimakan, kecuali;
i. Haiwan yang tidak disembelih mengikut hukum syarak.(Disembelih bukan kerana Allah).
ii. Babi.
iii. Anjing.
iv. Haiwan (mamalia maging @ mamalia karnivor) yang mempunyai taring atau gading yang digunakan untuk membunuh iaitu haiwan-haiwan buas seperti harimau, beruang, gajah, badak sumbu, kucing dan seumpamanya.
v. Burung yang mempunyai kuku pencakar, paruh tajam, makan menyambar (burung pemangsa) seperti burung helang, burung hantu dan seumpamanya(karnivor).
vi. Haiwan-haiwan yang disyariatkan oleh Islam untuk dibunuh seperti tikus, kala jengking, burung gagak, lipan, lipas, lalat, ular dan seumpamanya (reptilia).Namun begitu sejenis reptilia padang pasir itu biawak padang pasir (dhab) boleh dimakan dalam Islam.
vii. Haiwan yang dilarang oleh Islam membunuhnya seperti semut, lebah, burung belatuk, burung hud-hud dan labah-labah. Sejenis belalang daun yang darahnya tidak mengalir boleh dimakan menurut Islam.
viii. Haiwan yang dipandang jijik (keji) (al-Khabaith) oleh umum seperti kutu, lalat, ulat dan seumpamanya.
ix. Haiwan yang hidup di darat dan di air (dua alam) seperti katak, buaya, penyu, anjing laut, singa laut dan seumpamanya (amfibia). Terdapat khilaf atau pertikaian mengenai isu ini (sila lihat penjelasan di rencana di bawah).
x. Semua jenis haiwan dan tumbuh-tumbuhan yang dihasilkan oleh bioteknologi DNA adalah halal, namun haram dimakan yang berasal dari haiwan yang lahir dari salah satu keturunan dari babi atau anjing.

Haiwan air[sunting | sunting sumber]

Haiwan air ialah haiwan yang boleh hidup secara hakikinya di dalam air sahaja. Ia adalah halal dan boleh dimakan kecuali yang beracun, memabukkan dan membahayakan kesihatan manusia. Ikan Belacak halal dimakan.

Tumbuh-tumbuhan[sunting | sunting sumber]

Semua jenis tumbuh-tumbuhan dan hasilnya adalah halal dimakan kecuali yang berbisa, beracun, memabukkan, membahayakan kesihatan manusia serta yang dihasilkan oleh bioteknologi DNA yang bersumberkan dari bahan yang haram.

Minuman[sunting | sunting sumber]

Semua air adalah halal diminum kecuali yang beracun misalnya racun atau ubatan merbahaya, memabukkan dan membahayakan kesihatan manusia dan bercampur dengan benda-benda najis. Arak, alkohol boleh minum dan berkaitan dengannya haram statusnya.

Bahan semulajadi[sunting | sunting sumber]

Semua bahan semulajadi seperti air, mineral dan lain-lain adalah halal kecuali yang bercampur dengan najis, beracun, memabukkan dan membahayakan kesihatan.

Bahan kimia[sunting | sunting sumber]

Semua bahan kimia adalah halal kecuali yang bercampur dengan najis, beracun, memabukkan dan membahayakan kesihatan.

Bahan tambahan (aditif)[sunting | sunting sumber]

Bahan tambah (food additives) seperti penstabil, pengemulsi, pewarna, perisa, pengawet dan seumpamanya adalah halal kecuali yang dihasilkan dari sumber haiwan atau tumbuh-tumbuhan yang diharamkan oleh hukum syarak.

Bahan gunaan orang Islam[sunting | sunting sumber]

Bahan gunaan orang Islam boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu;
  • a) Kosmetik
  • b) Pakaian dan peralatan.

Kosmetik[sunting | sunting sumber]

Kosmetik adalah bahan-bahan atau ramuan yang terdiri daripada pelbagai unsur untuk dimasukkan ke dalam tubuh, disapu, digosok, dibalut, ditempel, dipakai dengan tujuan untuk kecantikan seperti pewarna rambut, bedak, gincu, pewarna kuku, maskap muka, celak dan seumpamanya.
Bahan kosmetik yang diperbuat daripada tumbuh-tumbuhan dan bahan kimia adalah boleh digunakan kecuali yang beracun dan membahayakan kesihatan. Bahan kosmetik yang diperbuat daripada sumber haiwan halal yang disembelih menurut kehendak syarak adalah boleh digunakan.
Nota tamabahan: Islam melarang penggunaan perwarna hitam dengan tujuan untuk menghitamkan rambut,penggunaan warna lain seperti warna perang dan sebagainya adalah dibolehkan,namun penggunaannya mestilah bertempat dan tidak mendatangkan keburukan di kalangan masyarakat serta bahan yang digunakan perlulah suci, selamat, halal dan tidak menyekat pengaliran air masuk ke dalam kulit kepala.Pembuatan tatu pada tubuh manusia dengan apa cara sekali pun juga adalah haram disisi Islam.

Pakaian dan peralatan[sunting | sunting sumber]

  • Bahan pakaian dan alatan yang diperbuat dari tumbuh-tumbuhan boleh digunakan.
  • Bahan pakaian dan alatan yang diperbuat daripada bulu haiwan boleh digunakan kecuali bulu babi dan anjing.
  • Bahan pakaian dan alatan yang diperbuat daripada tulang, tanduk,kerang-kerangan, kuku dan gigi haiwan yang dagingnya halal dimakan melalui sembelihan mengikut hukum syarak boleh digunakan.
  • Bahan pakaian dan alatan yang diperbuat daripada kulit haiwan (kecuali kulit babi dan anjing) yang telah disamak boleh digunakan.
Menyambung rambut palsu bukan bermaksud menocang rambut sendiri adalah haram perbuatan itu. Wanita Islam yang sudah akhil baligh wajib baginya mengenakan tudung bagi menutup rambutnya dan kepalanya. Semua umat Islam samada lelaki ataupun wanita wajib baginya untuk menutupkan aurat nya seperti yang telah diperintahkan oleh Allah. Islam juga melarang akan penganutnya untuk mencabut, memotong, mencukur bulu alis mata atau keningnya sengaja dan berlebihan, kerana perbuatan itu adalah haram serta mengubah hak ciptaan Allah Taala.

Membersihkan kulit haiwan dan manfaatnya[sunting | sunting sumber]

Membasuh kulit selepas menyamak[sunting | sunting sumber]

Menurut pendapat yang ashah, ketika menyamak kulit binatang tidak wajib dibasuh dengan air. Oleh itu, sunat sahaja ketika menyamak kulit itu disertai dengan air. Dalam hal ini apabila kulit berkenaan selesai disamak maka harus ia diperjualbelikan, walaupun ia tidak dibersihkan dengan air.
Akan tetapi dalam masalah menggunakannya untuk kepentingan ibadat sembahyang, seperti dibuat pakaian untuk menutup aurat dan seumpamanya, ataupun untuk kegunaan menyimpan barang yang basuh seperti air dan seumpamanya, tidak harus menggunakan kulit yang telah siap disamak bagi tujuan-tujuan tersebut (untuk dibawa sembahyang dan menyimpan benda yang basah) melainkan setelah dicuci dengan air, walaupun ia disamak dengan bahan yang suci, apatah lagi jika kulit itu disamak dengan menggunakan bahan penyamak yang najis, kerana kulit yang telah disamak itu diumpamakan seperti pakaian yang terkena najis.
Adapun jika dibersihkan najis itu dengan air sebelum kulit itu disamak adalah tidak memadai. Sebagai contoh, jika kulit yang belum disamak itu terkena najis mughallazhah lalu disucikan dengan air sebanyak tujuh kali dimana salah satunya bercampur tanah, maka tidak diterima thaharah (penyucian) itu. (Nihayah al-Muhtaj, Kitab ath-Thaharah, Bab an-Najasah Wa Izalatuha : 1/251 , Al-Minhaj fi Syarh Shahih Muslim, Kitab al-Haid, Bab Thaharah Julud al-Maitah, Mughni al-Muntaj, Kitab ath-Thaharah, Bab an-Najasah).
Kesimpulannyaa, sungguhpun kulit yang sudah disamak dianggap suci dari segi di mana sebelumnya ia dianggap sebagai bangkai, akan tetapi ia belum boleh dimanfaatkan (kecuali dalam masalah jual beli) melainkan setelah dibersihkan terlebih dahulu dengan air setelah kulit berkenaan siap disamak. Adapun pembersihan kulit dengan menggunakan air sebelum atau semasa kulit disamak adalah tidak memadai.

Penggunaan kulit Binatang[sunting | sunting sumber]

Penggunaan kulit binatang yang telah disamak adalah diharuskan dalam Islam sama ada dijadikan kasut, pakaian atau sebagainya. Walaubagaimanapun perlu diingat bahawa kulit anjing dan babi adalah tidak harus dimanfaatkan walaupun sesudah disamak.
Seperti yang sudah dimaklumi bahawa anjing dan babi itu keduanya adalah najis mughallazah (najis berat). Selain ditegah memakan daging babi dan anjing, ditegah juga memanfaatkan segala anggota binatang itu seperti kulit, bulu dan sebagainya, kerana babi dan anjing itu sendiri adalah najis al-‘ain.)
Sesuatu yang basah atau cecair yang datang daripada najis anjing, dan babi, seperti tahi, kencing, air liur, peluh dan darah adalah najis. Begitu juga sesuatu yang kering daripadanya seperti bulu dan kulit apabila disentuh dalam keadaan basah juga adalah najis. Cara menyucikan daripada najis ini, hendaklah dibasuh dengan air sebanyak tujuh kali. Salah satu daripadanya air yang bercampur tanah. (Mughni al-Muhtaj, Kitab ath-Thaharah, Bab an Najasah : 1/118).
Ada juga sebahagian ulama seperti al-Awza’ie dan ulama yang sependapat dengan beliau mengatakan bahawa binatang buas seperti harimau, serigala dan sebagainya, adalah ditegah menggunakannnya. Mereka berhujah dengan hadis daripada Usamah yang maksudnya :
“Bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam melarang daripada menggunakan kulit-kulit binatang buas. “(Hadis riwayat Abu Daud).
Dalam riwayat yang lain, daripada Usamah yang maksudnya :
“Sesungguhnya Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam melarang daripada menggunakan kulit-kulit binatang buas untuk dihamparkan sebagai alas.” (Hadis riwayat At-Taarmidzi).
Namun menurut ashab asy-Syafi’e, semua kulit bangkai itu termasuk kulit binatang buas adalah suci setelah disamak, melainkan kulit anjing dan babi. Mereka berhujah dengan beberapa dalil daripada hadis, di antaranya hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas, beliau berkata yang maksudnya :
“Aku pernah mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: “Jika kulit disamak maka ia menjadi bersih.” (Hadis riwayat Muslim).
Dalam hadith yang lain, daripada ‘Aisyah Radiallahuanha yang maksudnya :
“Sesungguhnya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam mengizinkan untuk menggunakan kulit-kulit bangkai jika telah disamak.” (Hadis riwayat An-Nasa’i)
Hadith di atas menunjukkan bahawa kulit bangkai binatang adalah suci setelah disamak. Kulit bangkai di sini adalah umum termasuklah juga kulit binatang buas melainkan apa yang telah disepakati akan larangannya iaitu anjing dan babi.
Adapun hujjah daripada hadis yang dikemukakan oleh Al-Awza’ie sebelum ini boleh dimaksudkan kepada kulit binatang buas yang masih berbulu, kerana pada kebiasaanya kulit binatang buas itu digunakan dalam keadaannya yang masih berbulu. Oleh itu, kulit binatang buas itu tidaklah najis, namun yang dimaksudkan dalam hadis itu ialah bulu yang ada pada kulit tersebut. Ini kerana kulit bangkai yang masih nyata berbulu tidak akan suci walaupun setelah disamak, kerana samak itu tidak akan memberi kesan kepada bulu. (Al-Majmu’, Kitab Ath-Thaharah, Bab al-A’niah : 1/277-278).
Oleh itu, kulit yang telah disamak dan suci, harus digunakan samada untuk dijadikan pakaian, tempat menyimpan barang yang basah atau kering, dijual beli dan boleh dibawa ketika sembahyang. Adapun memakan kulit bangkai yang disamak, menurut qaul qadim dan pendapat yang ashah adalah haram sama ada ia binatang ma’kul (yang boleh dimakan) atau ghair al-ma’kul (tidak boleh dimakan). (Al-Majmu’, kitab ath-Thaharah, Bab al-A’niah : 1/287).
Memandangkan kepentingan penggunaan barangan yang diperbuat daripada kulit di mana setengahnya dianggap sebagai keperluan seharian, tidak hairanlah ia menjadi sumber ekonomi bagi sesetengah pihak. Banyak barang-barang yang diperbuat daripada kulit yang boleh kita lihat di pasaran seperti kasut, beg, dompet, baju, tali pinggang dan sebagainya dengan pelbagai jenama dan kualiti yang berbeza-beza. Sudah tentu juga ia diperbuat daripada kulit binatang yang berbeza. Malahan terdapat sesetengahnya diperbuat daripada kulit yang najis iaitu kulit anjing dan babi.
Oleh itu, setiap umat Islam perlu berhati-hati dalam meilih keperluan masing-masing. Pastikan pilihan kita bukan daripada kulit yang najis itu.
  • 1. Tujuan menyamak ialah untuk menyucikan kulit yang najis (bangkai).
  • 2. Hukum menyamak kulit adalah harus.
  • 3. Menyamak tidak tertentu kepada orang Islam sahaja bahkan orang kafir pun boleh menyamak asalkan ia mengikut cara yang dilakukan oleh orang Islam.
  • 4. Hubungan menyamak kulit dengan kehidupan manusia: Untuk menambahkan ekonomi bagi mereka yang melakukannya. Untuk mengelakkan daripada pembaziran.
  • 5. Hanya kulit sahaja yang boleh disamak, tidak boleh pada kuku, gigi dan tulang.
  • 6. Takrif dan pengenalan bangkai :
Binatang yang halal dimakan yang mati tidak disembelih mengikut cara-cara Islam. Binatang yang haram dimakan yang mati sama ada disembelih atau tidak, tetap ia menjadi bangkai.
  • 7. Binatang-binatang yang mati termasuk dalam jumlah bangkai:-
Binatang yang disembelih dengan menggunakan tulang. Binatang yang disembelih oleh orang Majusi (orang yang menyembah api) Sembelihan orang-orang yang berihram (Ihram haji atau umrah)
  • 8. Binatang yang tidak suci kulitnya walaupun disamak:
  • Babi
  • Anjing
  • Anak yang dilahirkan daripada perkahwinan di antara anjing dan babi
  • Anak yang dilahirkan daripada perkahwinan binatang yang halal dengan anjing atau babi.
  • 9. Alat-alat yang digunakan untuk menyamak kulit iaitu sesuatu yang tajam rasanya atau kelat seperti tawas, cuka, asam, limau dan sebagainya.
  • 10. Cara menyamak kulit binatang :
Terlebih dahulu hendaklah disiat kulit binatang daripada anggota badan binatang (setelah disembelih). Dicukur semua bulu-bulu dan dibersihkan segala urat-urat dan lendir-lendir daging dan lemak yang melekat pada kulit. Kemudian direndam kulit itu dengan air yang bercampur dengan benda-benda yang menjadi alat penyamak seperti asid dan bahan kimia sehingga tertanggal segala lemak-lemak daging dan lendir yang melekat di kulit tadi. Kemudian diangkat dan dibasuh dengan air yang bersih dan dijemur.
  • 11. Kulit yang disamak itu haram dimakan kerana boleh mendatangkan mudarat pada anggota badan manusia.

  • 12. Maksud perkataan suci zahir dan batin pada menyamak kulit binatang:
Suci pada zahir itu ialah ialah sebelah luar tempat tumbuh bulu yang telah dicukur dan kulit itu melekat pada daging. Suci pada batin ialah di sebelah dalam kulit yang bermakna kulit itu dibelah maka bekas belahan itu suci.
  • 13. Bulu-bulu binatang yang telah disamak dan terlekat pada kulit kiranya sedikit adalah dimaafkan.
  • 14. Hubungan menyamak kulit binatang dengan ilmu-ilmu yang lain:
Pada Ilmu Muamalat kulit yang telah disamak boleh dijualbeli. Pada Ilmu Jinayat kulit yang telah disamak boleh dipotong tangan apabila dicuri. Pada Ilmu Faraid kulit yang telah disamak boleh dipusakakan
  • 15. Kesimpulan ialah menyamak kulit binatang adalah bertujuan menyucikan kulit.
( Kitab Matlaal Badrain - Syeikh Daud Fattani )

Perbincangan berkaitan status makanan halal[sunting | sunting sumber]

Hukum memakan haiwan dua alam (reptilia dan amfibia) dan seumpamanya[sunting | sunting sumber]

Tidak terdapat sebarang dalil yang khusus mengatakan binatang dua alam itu haram dimakan. Persoalannya, bagaimana pula hukum ini boleh keluar apatah lagi ia merupakan qaul yang masyhur dalam Mazhab Syafi’e sepertimana dinukilkan oleh kitab-kitab An-Nawawi; Imam Rafi’ie dan Al-Ghazali. Pendapat ini juga dipegang oleh Mazhab Hanbali.
Mereka yang mengatakan binatang dua alam ini haram di makan berdasarkan hadis berikut:
Dari Abdur Rahman ibnu Uthman menerangkan, “Dihadapan Rasulullah S.A.W. seorang tabib memperagakan semacam ubat dan dia menyebutkan tentang hal katak yang dimasukkan ke dalam ubat itu. Rasulullah S.A.W. melarang kita membunuh katak itu.” (Hadith Riwayat Ahmad, Abu Daud dan An-Nasa’i)
Hukum ke atas katak ini, kemudian diqiaskan kepada yang hidup sepertimana katak.
Sabdanya lagi, “Airnya,(iaitu laut) menyucikan dan halal bangkainya.”
Hadith di atas merujuk kepada hidupan laut. Adapun binatang dua alam ini tidak termasuk dalam keterangan di atas kerana mereka juga hidup di darat. Maka berdasarkan firman Allah di bawah, mereka membuat kesimpulan bahawa haiwan dua alam itu haram dimakan.
“Diharamkan bagimu (memakan) bangkai,…..”(5:3)
Di samping itu terdapat juga beberapa hadith yang menjelaskan ayat di atas iaitu:
Rasullullah S.A.W. bersabda, “Dihalalkan untuk kita dua jenis bangkai dan dua jenis darah; ikan dan belalang, hati dan limpa.”
Ulama’ mengqiaskan ikan itu kepada segala jenis hidupan laut yang hanya tinggal di dalam laut/air. Oleh itu, binatang 2 alam tidak termasuk.
Walaupun begitu, perlu diketahui bahawa dalam Islam, asal setiap sesuatu ciptaan Allah adalah harus. Ia tidak diharamkan melainkan jika ada nas yang sahih lagi sharih (jelas/tegas) dari syari’e yang mengharamkannya. Jika di sana tidak ada nas yang sahih – seperti ada nas tetapi dengan hadith dha’if – atau nas berkenaan sahih tetapi tidak sharih dalam menunjukkan keharamannya, maka hal ini akan kekal atas sifat asalnya sebagai hal yang diharuskan.
Daripada Abi Darda’, Rasulullah S.A.W. bersabda, “Apa yang Allah halalkan di dalam KitabNya, maka ia adalah halal. Dan, apa yang Allah haramkan, maka ia adalah haram. Manakala apa yang didiamkan olehNya, maka ia adalah dimaafkan. Oleh itu, terimalah kemaafan dari Allah. Sesungguhnya Allah tidak akan lupa sedikitpun.” Kemudian Rasulullah s.a.w. membaca ayat: “Dan Tuhanmu tidak pelupa.”(Maryam: 64) (Hadis Riwayat Al-Hakim, dan dia mensahihkannya dan dikeluarkan oleh al-Bazzar, dia berkata: Sanad yang baik).
Maka, berdasarkan dalil yang dipakai oleh mereka yang mengatakan binatang dua alam itu haram, kita dapati tidak terdapat satupun yang khusus menunjukkan ke arah keharamannya. Dalil yang paling hampir ialah mengenai katak. Tetap berdasarkan kaedah yang telah diutarakan, jika menerima hadith ini menunjukkan keharaman, keharaman itu hanyalah ditujukan kepada katak. Mengqiaskannya kepada semua yang hidup dua alam itu tidak tepat. Sekiranya kita menerima pendapat haramnya binatang dua alam, mengapa pula kita boleh memakan ketam/kerang yang pada biasanya dijual di pasar-pasar dalam keadaan hidup. Bukankah itu membuktikan binatang ini mampu hidup di atas darat?
Pendapat yang kuat ialah secara umumnya, binatang dua alam itu halal. Dia didiamkan syara’. Hanya saja kita perlu ingat, bahawa Islam juga ada menggariskan satu lagi kaedah dalam mengenal pasti halal atau haramnya sesuatu binatang itu, iaitu berdasarkan kepada firman Allah S.W.T.:
“Hai manusia! Makanlah dari apa-apa yang ada di bumi ini yang halal dan baik, dan jangan kamu mengikuti jejak syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu musuh yang terang bagi kamu.” ( Surah Al-Baqarah: 168)
“Katakanlah! Aku tidak menemukan tentang sesuatu yang telah diwahyukan kepadaku soal makanan yang diharamkan untuk dimakan, melainkan bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi; kerana sesungguhnya ia kotor (rijs), atau binatang yang disembelih bukan kerana Allah. Maka barangsiapa yang dalam keadaan terpaksa dengan tidak sengaja dan tidak melewati batas, maka sesungguhnya Tuhanmu Maha Pengampun dan Maha Pengasih.” (Surah Al-An’am: 145)
Dari ayat di atas, illat kepada keharaman bangkai, darah yang mengalir, babi adalah kotor. Berdasarkan illat ini, kita boleh mengqiaskannya kepada apa-apa binatang yang mempunyai illat yang sama dengannya iaitu kotor. Sebagai contoh, sekiranya kita melihat sesuatu binatang itu sememangnya kotor dari segi gaya hidup dan seumpamanya, maka ia menjadi haram. Walaupun begitu, perlu diingat, kadang-kadang uruf dari satu tempat ke satu yang lain itu berlainan. Mungkin pada masyarakat negara Malaysia, binatang itu menjijikkan, tetapi pada masyarakat berbangsa China tidak pula.
Maka, kesimpulannya, setiap apa yang dinyatakan dalam nas yang mengatakan ia haram, itulah haram. Yang tidak dikatakan haram, maka ia didiamkan syara’. Namun Islam menitikberatkan kebersihan. Tinggalkanlah sesuatu perkara yang dianggap pada dirinya jijik dan kotor. Tetapi jangan pula kita menjadi pelik jika ada orang yang memakannya di negara lain.

Hukum makan telur penyu, tuntung dan telur buaya dan menggunakan organ dalaman binatang buas untuk membuat ubat[sunting | sunting sumber]

  1. Buaya - menurut pandangan yang sahih bahawa adalah haram memakannya, kerana ia juga tinggal didarat dan mempunyai taring, walaupun ia menghabiskan masa yang lama didalam air, akan tetapi sebab yang awal tadi mendahului hukum (binatang darat yang bertaring). Ensiklopedia Fiqh Kuwait mengatakan bahawa buaya diharamkan oleh Mazhab Syafie dan Hanbali:
وللاستخباث في التمساح ; ولأنه يتقوى بنابه ويأكل الناس .
“Kerana kotornya buaya dan sesungguhnya ia kuat pada taringnya dan buaya memakan orang”. Maka, telur buaya juga haram dimakan.
  1. Penyu - Binatang yang memang tinggal di laut dan juga yang tinggal di darat, tiada khilaf dikalangan ulama’. Akan tetapi, binatang yang hidup didalam dua alam, wujudnya khilaf dikalangan ulama’, ternasuklah penyu. Berkata Dr Abdullah Faqih :-
أجاز العلماء أكل السلحفاة لعموم قوله تعالى : (كلوا مما في الأرض حلالاً طيباً ) وقوله أيضا (وقد فصل لكم ما حرم عليكم ) وقالوا عن تذكية السلحفاة: ما يعيش في البر يذكي بلا خلاف في ذلك ، وما يعيش في البر والبحر ككلب الماء والسلحفاة فاختلفوا فيه بين من قال بالتذكية، ومن لم يقل بها ، والأولى التذكية خروجا من الخلاف .
“Ulama; membenarkan memakan penyu atas umum perintah Allah S.W.T. :- (Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik 2:16 dan juga firmannya (padahal Allah telah menerangkan satu persatu kepada kamu apa yang diharamkanNya atas kamu 6:119) dan mereka bercakap mengenai cadangan memakan penyu: apa yang hidup di darat, tidak ada perselisihan mengenainya, dan apa di bumi dan laut seperti anjing air dan penyu didapati khilaf dikalangan mereka, mereka yang mencadang berkata: sesiapa yang tidak mempercayainya, dicadangkan mula-mula sekali keluar dari perselisihan”
Ibn Qudamah rh. didalam al-Mughni mengatakan bahawa penyu boleh dimakan sekiranya disembelih. Katanya :
كل ما يعيش في البر من دواب البحر , لا يحل بغير ذكاة , كطير الماء , والسلحفاة , وكلب الماء , إلا ما لا دم فيه , كالسرطان , فإنه يباح بغير ذكاة .
“Semua yang hidup didarat dari kalangan binatang laut, tidak halal tanpa disembelih, sebagaimana burung laut, penyu, anjing laut, melainkan ia tidak berdarah seperti ketam dihalalkan tanpa sembelih”
Dikalangan ulama’ yang berpegang kepada pandangan ini membenarkan memakan telur penyu.
2. Mengenai berubat dengan menggunakan barangan haram, disini terdapat pandangan Syiekh Dr Yusuf al-Qaradhawi, didalam bab (ضرورة الدواء) dalurat kerana berubat, didalam buku halal dan haram (ms 49-50) (terjemahan Ustaz Zainys, al-ahkam) :-
وأما ضرورة الدواء -بأن يتوقف برؤه على تناول شيء من هذه المحرمات- فقد اختلف في اعتبارها الفقهاء.. فمنهم من لم يعتبر التداوي ضرورة قاهرة كالغذاء، واستند كذلك إلى حديث “إن الله لم يجعل شفائكم فيما حرم عليكم”. ومنهم من اعتبر هذه الضرورة وجعل الدواء كالغذاء، فكلاهما لازم للحياة في أصلها أو دوامها، وقد استدل هذا الفريق -على إباحة هذه المحرمات للتداوي- بأن النبي صلى الله عليه وسلم رخص في لبس الحرير لعبد الرحمن بن عوف والزبير بن العوام رضي الله عنهما لحكة -جرب- كانت بهما. مع نهيه عن لبس الحرير، ووعيده عليه. وربما كان هذا القول أقرب إلى روح الإسلام الذي يحافظ على الحياة الإنسانية في كل تشريعاته ووصاياه. ولكن الرخصة في تناول الدواء المشتمل على محرم مشروطة بشروط: أن يكون هناك خطر حقيقي على صحة الإنسان إذا لم يتناول هذا الدواء. ألا يوجد دواء غيره من الحلال يقوم مقامه أو يغني عنه. أن يصف ذلك طبيب مسلم ثقة في خبرته وفي دينه معا. على أنا نقول مما نعرفه من الواقع التطبيقي، ومن تقرير ثقات الأطباء: أن لا ضرورة طبية تحتم تناول شيء من هذه المحرمات -كدواء- ولكننا نقرر المبدأ احتياطا لمسلم قد يكون في مكان لا يوجد فيه إلا هذه المحرمات.
“Darurat kerana berubat ialah, kesembuhan suatu penyakit bergantung kepada makanan yang diharamkan. Mengenai hal ini, para fuqaha (ahli fiqh) telah berselisih pendapat mengenainya. Sebahagian mereka tidak menganggap berubat dalam keadaan ini sebagai darurat yang memaksa sebagaimana dalam masalah makan. Pendapat ini bersandarkan kepada Hadith:
Ertinya: “Sesungguhnya Allah tidak menjadikan kesembuhanmu dengan sesuatu yang Ia haramkan atas kamu.” (Hadith Riwayat Bukhari)
Sebahagian ahli fiqh pula mengatakan bahawa ia dapat digolongkan di dalam keadaan darurat. Mereka menganggap masalah memakan ubat sama seperti masalah makan (boleh makan yang diharamkan ketika darurat). Dalil golongan yang membolehkan memakan yang haram kerana berubat ialah, Nabi Muhamad s.a.w. pernah memberi rukhsah (keringanan) memakai sutera kepada Abdul Rahman bin Auf dan al-Zubair bin al-Awam r.a. Ini disebabkan penyakit yang menimpa mereka berdua, sedangkan pemakaian sutera adalah dilarang dan pemakainya diancam.
Barangkali inilah pendapat yang lebih hampir kepada roh Islam yang bersifat sentiasa melindungi kehidupan manusia. Sifat ini boleh kita perolehi di dalam setiap pensyariatan dan pesan-pesannya.
Namun, rukhsah (keringanan) memakan ubat yang mengandungi bahan yang diharamkan ada beberapa syaratnya, iaitu:
  1. Dapat benar-benar membahayakan kesihatan jika tidak memakan ubat berkenaan.
  2. Tidak terdapat ubat lain yang halal sebagai penggantinya.
  3. Hal ini disahkan oleh doktor yang dapat dipercayai dari sudut kepakaran ilmu perubatannya dan agamanya.
Tidak ada darurat dari konteks perubatan yang sampai ke peringkat terpaksa memakan sesuatu yang diharamkan sebagai ubat. Cuma, hanya menetapkan prinsipnya sahaja sebagai langkah berjaga-jaga (ihthiati) kepada orang Islam yang kadangkala berada di suatu situasi di mana tidak ada apa-apa melainkan yang diharamkan sahaja.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. Markas Dr Abdullah Faqih. حكم أكل السلحفاة. url: http://www.islamonline.net/fatwa/arabic/FatwaDisplay.asp?hFatwaID=71513
  2. Syiekh Dr Yusuf al-Qaradhawi. al-Halal wa al-Haram fi Islam. cet. 27. Kaherah : Maktabah Wahbah, 2002.
  3. Syiekh Dr Yusuf al-Qaradhawi. al-Halal wa al-Haram fi Islam. terjemahan Ustaz Zain. URL : http://al-ahkam.net/forum2/viewtopic.php?t=7098
  4. Fiqh & Perundangan Islam. Dr Wahbah Al-Zuhaily.
  5. Koleksi Hadis-hadis Hukum. TM Hasbi.
  6. Al-Halal wal-Haram fi Islam. Dr Yusuf Al-Qaradhawi.
  7. Makan telur penyu dan buaya? April 21, 2007 — Mohd Masri.

No comments: