SELAMAT MENYAMBUT HARI OKU 2012
3 Disember 2012
3 Disember 2012
Mohd Fauzan Muharam menyusun beg berwarna-warni untuk dipamer dan dijual dalam Karnival Produk OKU 2015 di PWTC, Kuala Lumpur, semalam. utusan/IRWAN MAJID
KUALA LUMPUR 2 Dis. – Karnival Produk Orang Kurang Upaya (OKU) yang diadakan sempena sambutan Hari OKU 2015 mampu menyebarluaskan promosi hasil kraftangan yang dihasilkan oleh golongan tersebut.
Ketua Penolong Pengarah Jabatan Pembangunan OKU, Suhaiza Ahmad berkata, program ini diharap dapat mengkomersialkan dan memperkenalkan produk OKU di peringkat lebih tinggi, selain membantu mereka memperoleh pendapatan lumayan.
Katanya, setiap negeri menghantar wakil pelatih dari pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) untuk mengadakan pameran di sini, sekali gus mengetengahkan produk yang dihasilkan oleh pelatih mereka.
“Pelbagai produk yang terdiri seperti kraftangan, makanan dan pakaian yang dihasil dan dibuat oleh golongan OKU dijual, sekali gus membantu mereka meluaskan pasaran dan menambah pendapatan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Karnival Produk OKU yang diadakan selama dua hari bermula hari ini di Ruang Legar Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) itu bermula pada pukul 10 pagi hingga 6 petang.
Karnival ini turut mendapat kerjasama daripada agensi kerajaan seperti Majlis Reka Bentuk Malaysia, Kementerian Kesihatan, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pendidikan, Jabatan Pendidikan Khas dan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain.
Antara program sampingan yang turut diadakan termasuklah persembahan badut dan silap mata, permainan interaktif dan kuiz, pameran agensi kerajaan dan swasta serta pertubuhan sukarela.
Selain mempromosikan produk OKU, menurut Suhaiza, karnival ini dapat memperkasakan diri pelatih dan memasarkan produk berkualiti seperti produk dari PDK Malindo, Sarawak yang pernah dibawa ke Paris untuk dijual di sana.
Tambahnya, sebuah program yang diberi nama Program Pemerkasaan Ekonomi (EEP) telah dilaksanakan untuk membantu golongan OKU di seluruh Malaysia.
“Sebanyak 87 PDK telah mengikuti EEP, melibatkan sebanyak 624 OKU yang menghasilkan pelbagai jenis produk untuk menjana pendapatan mereka.
“Kami akan mengembangkan lagi program EEP ini kepada 103 PDK lain dan menjangkakan pendaftaran baharu oleh 525 OKU di seluruh Malaysia,” katanya.
Tema: Tiadakan halangan untuk mewujudkan masyarakat yang inklusif dan boleh diakses oleh semua.
Lebih satu bilion orang, atau kira-kira 15 peratus daripada penduduk dunia, hidup dengan mengalami pelbagai bentuk kecacatan.
Orang kurang upaya, "minoriti terbesar di dunia", sering menghadapi halangan untuk menyertai dalam semua aspek masyarakat. Halangan boleh mengambil pelbagai bentuk, termasuk yang berkaitan dengan persekitaran fizikal atau teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), atau yang terhasil dari undang-undang atau dasar, atau dari sikap masyarakat atau diskriminasi. Hasilnya orang kurang upaya tidak mempunyai akses yang sama kepada masyarakat atau perkhidmatan, termasuk pendidikan, pekerjaan, penjagaan kesihatan, pengangkutan, penyertaan politik atau keadilan.
Bukti dan pengalaman menunjukkan bahawa apabila halangan ditiadakan dan OKU diberi kuasa untuk menyertai sepenuhnya dalam kehidupan masyarakat, keseluruhan masyarakat juga dapat menikmati manfaatnya. Akses adalah perlu untuk mencapai kemajuan dan pembangunan untuk semua.
Memperingati Hari Antarabangsa Orang Kurang Upaya pada tahun 2012 memberikan peluang untuk menangani halangan-halangan dengan memberi tumpuan kepada usaha menggalakkan akses dan mengurangkan semua jenis halangan dalam masyarakat.
No comments:
Post a Comment