Date: January 17, 2016
Lawatan ke kapal Australis dan taklimat ringkas
(Kapal layar yang bakal kami naiki pada 18 Januari nanti, InsyaAllah)
Kami tiba di jeti lokasi Autralis pada
jam 4 petang. Kami berjumpa dengan Ben Wallis (Ben) bersama dua lagi
crew kapal layar, Maggie (Mag) dan Bob yang sedang bertungkus lumus
membuat persiapan terakhir sebelum kami berlepas pada 18 Januari nanti.
(Sesi perbincangan bersama dengan Ben Wallis)
Kami sempat melawat ruang dalaman kapal
dan mengadakan perbincangan ringkas dengan anak kapal. Seperti gambar
diatas, ruang tersebut akan kami gunakan untuk perbincangan dan tempat
itu juga akan dijadikan ruang makan.
Untuk pelayaran kali ini, Ben akan
mennyertai kami sebagai peserta ekspedisi manakala kapten yg dilantik
adalah Mag. Melalui perbincangan ringkas ini, kami diberi taklimat
ringkas mengenai persediaan sebelum menaiki kapal, dan keadaan
perjalanan ke Antartik. Taklimat yg lebih spesifik akan diadakan pada
hari kami akan berlepas nanti, InsyaAllah.
Teruskan mengikuti kembara saintis Malaysia meneroka khazanah Antartik dari semasa ke semasa!
Hari
ini 16 Januari 2016 tarikh di Argentina. Keadaan cuaca cerah dengan
suhu 10 darjah celsius. Memandangkan di sini sedang mengalami musim
panas, waktu siangnya agak panjang iaitu 17 jam. Solat Subuh adalah pada
3.08 minit pagi manakala waktu solat maghrib pula masuk pada jam 10.oo
malam. Kami perlu merancang solat jamak dan qasar dengan baik kerana
perbezaan waktu yang ketara pada siang dan malam. Kebiasaannya kami akan
menunaikan solat qasar dan jamak taqdim secara berjemaah di bilik hotel
sebelum keluar pada waktu siang dan pada malam harinya kami menunaikan
solat qasar dan jamak ta’khir berjemaah kerana waktu isya’ adalah pada
jam 12.04 minit pagi . Sela waktu yang agak singkat iaitu 3 jam sebelum
masuknya waktu subuh.
___________________________________
2 hari lagi kami akan memulakan
pelayaran ke Antartik. Persiapan rapi dan tersusun perlu dilakukan lebih
awal bagi memastikan semua keperluan dan persediaan dapat berjalan
dengan lancar. Untuk itu, setiap hari kami mengadakan mesyuarat sebagai
platform untuk setiap peserta ekspedisi melaporkan keperluan,
permasalahan, tahap kesihatan masing-masing dan perkara-perkara
berbangkit di dalam ekspedisi ini. Sehingga kini, semua perancangan
mengikut jadual, tiada sebarang permasalahan timbul dan kesihatan semua
saintis masih di tahap yang baik. Alhamdulillah.
Mesyuarat pada hari ini kami putuskan utk melantik Dr Shahrul dan Dr Foong bertugas menghubungi Ben Wallis, kapten kapal Australis yang
akan bersama kami dalam pelayaran nanti. Hasilnya, kami dibenarkan oleh
Ben untuk datang sendiri melihat keadaan kapal layar pada waktu petang.
Mengikut maklumat yang diberikan oleh Ben, lokasi jeti kapal layar Australis terletak
kira-kira 1 km daripada hotel kami. Dr Shahrul dan Dr Foong akan ke
sana menaiki teksi kerana mereka perlu membawa peralatan untuk pengujian
awal dan penyediaan eksperimen. Ahli yang lain membuat keputusan untuk
berjalan kaki sahaja supaya dapat melihat dan menikmati keunikan bandar
pelabuhan Ushuaia sebagai bandar paling selatan di dunia dan keindahan
kaki gunung Martiall di sebelah barat dan gunung Olivia dan Cinco
Hermanus di sebelah timur. Subhanallah, itulah ucapan yg selalu
terungkap apabila melihat indahnya alam ciptaan tuhan di sini.
Pada ketika ini, semua ahli ekspedisi
sedang bertungkus-lumus menyiapkan peralatan serta berusaha memastikan
eksperimen yang bakal dijalankan berjalan dengan lancar. Bagi Dr Foong
dan Dr Shahrul, mereka sudah mula mengambil sampel di sini sebagai
stesyen rujukan.
InsyaAllah seperti di dalam perancangan,
kami akan berkumpul di kapal layar Australis pada jam 9 pagi, 18
Januari 2016 dan akan memulakan pelayaran kira-kira dua jam selepas itu,
iaitu pada pukul 11 pagi. Mohon seluruh rakyat Malaysia terus mendoakan
perjalanan kami selamat dan tujuan utama kami iaitu menjalankan kajian
di Antartik tercapai.
Teruskan mengikuti kembara saintis meneroka khazanah Antartik dari semasa ke semasa!
Sebelum bertolak ke Antartik,
alat-alat eksperimen telah diuji secara intensif di makmal Applied
Electromagnetic Research Group (AERG) aras tujuh, Fakulti Kejuruteraan Elektrik UiTM Shah Alam.
Semua peralatan eksperimen berada dalam keadaan baik dan eksperimen
berjalan dengan lancar. Data yang diinginkan berjaya dipancarkan secara
langsung melalui aplikasi pemerhatian jarak jauh atau remote monitoring.
Semasa tiba di Ushuaia pada hari keempat
ekspedisi iaitu tanggal 16 Januari 2016 waktu Malaysia, ujikaji
dijalankan sekali lagi untuk menilai kondisi peralatan eksperimen
sebelum eksperimen sebenar dijalankan di stesyen King Sejong. Eksperimen
pertama yang dijalankan adalah untuk menguji Wireless Magnetometer
(WiMag) atau magnetometer tanpa wayar hasil pembangunan kumpulan
penyelidik Space & Earth’s Electromagnetism.
( Wireless magnetometer sedang diuji)
Hasil ujikaji mendapati sambungan tanpa wayar antara komputer yang bertindak sebagai data acquisition (DAQ) atau alat perolehan data dengan WiMag gagal. Pemeriksaan secara jarak jauh atau remote monitoring telah dijalankan secara langsung satu demi satu. Pertama, prosedur microcontroller debugging telah dijalankan bagi menilai kondisi microcontroller dan pendawaian. Hasil prosedur microcontroller debugging mendapati microcontroller dan pendawaian berada pada keadaan yang baik dan lancar. Maka, microcontroller dan pendawaian bukanlah punca kepada masalah ini.
Seterusnya, pemeriksaan modul tanpa
wayar (wireless) dijalankan. Hasil pemeriksaan juga mendapati modul
tanpa wayar magnetometer berkeadaan baik kerana terdapatnya pemancaran
signal rangkaian. Oleh yang demikian, kami mengesyaki kemungkinan
berlakunya masalah pada komputer yang menjalankan perolehan data. Maka,
kami cuba menghubungkan rangkaian signal tanpa wayar magnetometer dengan
telefon pintar. Hasilnya, rangkaian signal tanpa wayar magnetometer
dapat disambung dengan telefon pintar berkenaan. Maka, masalah yang
berlaku telah dapat diatasi dengan jayanya. Alhamdulillah.
Terima kasih kepada para pelajar saya,
sanggup datang pada hujung minggu untuk merektifikasi masalah yang
berlaku secara pemerhatian jarak jauh atau secara remote monitoring.
Selain dari cabaran mengendali alat wireless magnetometer, saya juga berdepan dengan cabaran mengendali GPS tracking System. Apabila
kali pertama saya mencuba alat ini, hanya data dari suhu dan kelembapan
sahaja yang dapat direkodkan, manakala data untuk latitud dan longitud
tidak dapat dikesan. Kemudian, saya bertindak membuka bekas gps
tersebut, saya dapati pengesan gps telah tertanggal dari microprocessor. Ini mungkin terjadi akibat dari hentakan yang berterusan semasa perjalanan ke Ushuaia.
Sebagai penutup untuk entry kali ini, saya ingin berkongsi satu lagi cerita. Malam tadi ketika saya ingin membuat ujian local area network (LAN ),
saya ke kaunter mengejutkan staff yang sedang bertugas. Mungkin kerana
sudah lewat malam, staff tersebut mengigau bercakap bahasa Sepanyol
dengan saya. Gelagat kami ketika itu sudah seperti ayam dengan itik,
kerana tidak mahu perbualan menjadi lebih panjang saya membatalkan niat
untuk meneruskan ujian LAN dan kembali semula ke bilik. Manakan tidak,
bahasa Sepanyol yang saya hanya tau Maria Mercedes, hola seniorita dan
gracias!.senyum…
Teruskan mengikuti perkembangan saintis Malaysia meneroka khazanah Antartika dari masa ke masa!
No comments:
Post a Comment