Wednesday, August 26, 2015

Travelling BERUANG MAKNA- Kempen mengutip Dana utk pesakit Kanser

Travelling BERUANG MAKNA- 
Kempen mengutip Dana utk pesakit Kanser

Just for sharing..and PRIHATIN yaa...Amat mulia  ...Terima kasih di atas sumbangan  dan sokongan anda..tolong sampaikan penghargaan..

Travelling Beruang - Kenapa Air Mata Ungku Ismail Aziz Mengalir?

Travelling Beruang - Ungku Ismail Aziz

Wartawan: Nani
Jurugambar: Farid Mad Noh
Pelakon yang terkenal menerusi drama bersiri ‘Teman Lelaki Upahan’, Ungku Ismail Aziz mengakui air matanya menitis saat mendengar pengalaman ibu kepada pesakit kanser darah iaitu adik Nur Hasmime Abdul Hamid (Mime) berkongsi mengenai pahit getir yang terpaksa diharungi oleh keluarga mereka.
Menurut Ungku Ismail, dia terpanggil untuk berjumpa dengan keluarga adik Mime di Kuala Krai, Kelantan sekitar April lalu setelah tersentuh menonton salah satu episod program ‘Bersamamu’ menerusi portal video Tonton.


Ungku Ismail luluh hati bila ibu adik Mime berkongsi yang dia hampir mahu membunuh diri dek terlalu tertekan

“Semuanya bermula ketika saya menerima tawaran telefilem ‘Travelling Beruang’ terbitan Balang Rimbun Sdn Bhd. Saya ingin tahu bagaimana perasaan seorang bapa yang anaknya menghidap kanser. Biarpun watak saya ialah seorang bapa yang kematian anaknya, namun saya nak cari orang yang anaknya masih hidup kerana jika saya cari bapa yang anaknya sudah meninggal, saya tahu perasaannya sudah pasti sedih. Dari situ, saya mula buat rujukan dan akhirnya dapat berjumpa dengan keluarga adik Mime,” ujar pelakon berusia 30 tahun ini sambil berkongsi pengalaman berjumpa dengan adik Mime dan keluarganya sekitar dua bulan lepas.
“Adik Mime sudah melalui semua proses kimoterapi dan keadaannya semakin sembuh. Walau bagaimanapun, dia masih perlu berjaga-jaga kerana kemungkinan untuk relapse masih tinggi. Apa yang menyedihkan, selepas Mime, kedua-dua abangnya juga disahkan menghidap kanser di mana seorang kanser darah dan seorang lagi kanser tulang. Jururawat yang merawat Mime ada memberitahu saya yang adik Mime pernah sampai tahap sudah mengaku kalah dan suruh mereka ‘bunuh’ saja dia sebab dah tak tahan lagi. Dia rasa macam dia dah menyusahkan semua orang,” kata Ungku Ismail yang luluh hati saat ibu Mime memberitahu dia hampir membunuh diri kerana terlalu tertekan.


Ekoran pertemuan dengan adik Mime dan keluarganya, Ungku Ismail nekad mahu lakukan sesuatu untuk memberi kesedaran kepada masyarakat

“Saya kesian sangat dengan emak dia. Bayangkan betapa susahnya hidup mereka sehingga emak dia perlu masak nasi atas tin milo. Saya sedih dan menangis ketika mendengar cerita emak Mime yang hanya makan biskut tiga keping setiap hari dan mengambil air dari tandas untuk mencicah biskut tersebut. Mereka pernah juga minta bantuan dari orang lain tapi tak ada siapa nak tolong. Emak dia memang sampai tahap tak tahu nak buat apa lagi dan hampir nak bunuh diri. Namun ketika itu, apabila toleh belakang ada orang tinggalkan Al-Quran dan membuatkan emaknya sedar,” cerita Ungku Ismail kepada Tonton Extra.
Ternyata, pengalaman tersebut telah membuka hati pelakon kelahiran Johor Bharu ini untuk membuat sesuatu yang lebih bermakna dan dari situ timbul idea untuk membuat kempen ‘Travelling Beruang’ bagi memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kanser di kalangan kanak-kanak selain membantu meringankan beban golongan tersebut.


Travelling Beruang
Kempen Travelling Beruang juga bertujuan untuk meringankan beban keluarga yang sukar mahu menanggung kos rawatan kanser

“Sewaktu di Kelantan, saya sempat pergi ke Hospital Universiti Sains Malaysia untuk berjumpa dengan doktor yang merawat adik Mime bagi mengetahui rekod kesihatannya. Pada masa sama, saya juga berpeluang untuk melihat keadaan pesakit-pesakit kanser di sana. Ketika itu, saya dapat melihat ada yang ibu bapa mereka tak ada di sana dan keadaan mereka ini lagi teruk berbanding dengan kanak-kanak yang ditemani oleh penjaga mereka.
“Jadi, saya tanya doktor apa yang saya boleh buat untuk bantu mereka. Menurut doktor, kanak-kanak ini jika kita boleh buat mereka gembira, mereka akan lebih mudah untuk cepat sembuh. Sebab itu, pihak hospital selalu membawa badut atau apa saja untuk membuatkan pesakit di situ gembira. Dari situ, timbul idea untuk membuat kempen ini dan saya rasa saya perlu melakukan sesuatu di luar sana untuk membuatkan kanak-kanak ini gembira,” ujar Ungku Ismail yang turut mempunyai sejarah keluarga yang menghidap kanser di mana ibu saudaranya menghidap kanser payudara dan ada juga kawannya yang meninggal dunia akibat kanser di bahagian kepala.


Travelling Beruang
Niat Ungku Ismail berjaya mendapat sokongan dan kerjasama TV3, Air Asia dan Altel

Menariknya, niat murni Ungku Ismail turut mendapat perhatian TV3 dan kempen ‘Travelling Beruang’ kini direalisasikan dengan sokongan serta kerjasama daripada Air Asia dan Altel. Maklumat lanjut mengenai kempen ini boleh didapati di laman web rasmi www.travellingberuang.com.my.

 Travelling BERUANG MAKNA..satu wawancara

No comments: