Saturday, May 14, 2016

Hari Sabtu Kedua Mei - Sambutan Hari Migrasi Burung Sedunia (World Migratory Bird Day)

  • Hari Sabtu Kedua Mei - Sambutan Hari Migrasi Burung Sedunia (World Migratory Bird Day)

Kuala Gula destinasi burung migrasi



PELANCONG mengambil kesempatan melihat burung botak kecil di kawasan Kuala Gula.


KETIKA menyusuri kawasan hutan paya laut, kelihatan burung botak kecil, burung upeh, kedidi berkaki merah dan bangau besar sedang tenang mencari makan di sepanjang kawasan paya laut yang sedang surut di Kuala Gula.
Tidak terlepas pandangan ialah helang merah berterbangan di udara manakala lotong kelabu, belacak, sekendi kepala besar dan kera di sekitar Ban Joo Kaw hingga ke Teluk Rubiah turut sibuk mengalas perut menandakan kawasan ini mempunyai banyak hidupan liar dan ratusan spesies burung.
Rekod Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mencatatkan terdapat sebanyak 192 spesies meliputi spesies burung yang hijrah dan juga spesies burung residen yang boleh ditemui sepanjang tahun di kawasan ini.
Kuala Gula antara 55 kawasan di Malaysia yang dikenalpasti sebagai Important Bird Area(IBA) melalui beberapa kriteria termasuk penghijrahan burung dari kawasan sejuk.
Aktiviti paling utama ialah pemerhatian burung bermula pada Ogos sehingga April setiap tahun dan menyaksikan lain-lain hidupan liar sekali gus kawasan ini antara kawasan penting populasi spesies pelbagai burung.
Migrasi burung di dunia dan Malaysia terletak dalam laluan East Asian-Australian Flyway bermula dari Siberia melalui China, Mongolia, Hong Kong, Jepun, Korea, Vietnam, Kemboja seterusnya ke Thailand, Malaysia ,Singapura, Indonesia, Papua New Guinea, Australia dan berakhir di New Zealand.
Apabila musim sejuk berakhir di Hemisfera Utara burung-burung ini akan kembali semula ke Siberia untuk membiak melalui laluan yang sama dan akan berulang setiap tahun.
Sesetengah burung ini terbang sejauh 10,000 kilometer (6,200 batu) semasa musim penghijrahan.
Mengapa Kuala Gula menjadi pilihan untuk migrasi burung-burung ini? Kuala Gula sebahagian daripada 40,000 hektar hutan Simpan Paya bakau matang yang mempunyai pantai berlumpur dan pokok-pokok bakau.
Hutan simpan ini terkawal dengan amalan sistem pengurusan hutan bakau yang terbaik di dunia.
Keadaan flora dan fauna dengan spesis tumbuhan seperti bakau minyak, bakau kurap, api-api putih,api-api jambu, api-api ludat, teruntum putih, perepat, nipah,piai raya selain pelbagai spesies teratai menarik perhatian banyak spesis burung memilih kawasan ini sebagai hidupan yang boleh dilihat di kawasan ini.
Faunanya hutan bakau dengan habitat yang dapat menampung spesies hidupan liar selain burung mamalia kecil, reptilia, ketam, udang dan ikan menjadikan kawasan ini lebih menarik.
Hutan bakau dan beting lumpur menyediakan habitat yang sesuai dan sumber makanan yang mencukupi untuk spesies burung ini, selain menyediakan kawasan yang sesuai untuk spesies residen membiak dan mengekalkan diri mereka dengan sesuai dikawasan itu.
Antara spesies burung yang banyak terdapat di kawasan itu ialah bangau kendi, bangau kerbau, burung botak kecil, upeh, helang siput, camar kecil, camar topi hitam kedidi kaki hijau ,kedidi kaki merah, kedidi pasir dan pisau raut.
Juga terdapat pucong seriap, pucong serambu dan burung upeh yang populasinya telah dipantau oleh Perhilitan sejak tahun 1980an lagi.
Dua kawasan utama yang sering direkodkan dengan kehadiran burung Upeh ialah pulau Kelumpang dan pulau Terung mudah dilihat mencari makan di kawasan tasik dan bertenggek di atas pokok atau terbang berlegar-legar di udara.
Satu lagi spesies ialah botak kecil yang diklasifikasikan di bawah burung-burung liar yang dilindungi.
Terdapat 19 spesies burung botak di seluruh dunia dengan 10 daripadanya boleh didapati di Asia Tenggara.
Spesies burung upeh dan botak kecil, sekendi kepala hitam dan kedidi kaki hijau boleh ditemui dengan mudah di persisir Kuala Gula.
Di Malaysia spesies-spesies ini dilindungi oleh Akta Perlindungan Hidupan Liar 76/72.
Namun bagi International Union for Concervation of Nature (IUCN) atau Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam telah mengkelaskan burung upeh dan botak kecil dan kedidi kaki hijau sebagai terancam.
Ancaman utama kawasan ini ialah kemusnahan habitat akibat gangguan manusia, dan pencemaran yang memerlukan perhatian semua pihak supaya kawasan populasi burung utama tidak terjejas sekali gus kawasan yang popular ini tidak lagi hanya tinggal nama. Kewujudan Pusat Konservasi Hidupan Liar (Burung Laut) Kuala Gula semenjak tahun 1985 bertujuan menjalankan aktiviti konservasi.
Menurut Penolong Pegawai Perhilitan Kuala Gula, Zainuddin Busrah, kewujudan pusat ini bukan sahaja dari aspek penguatkuasaan malah termasuk meninjau burung dan kajian-kajian berkaitan burung air.
Katanya, program pendidikan dan kesedaran awam kepada masyarakat khususnya pelajar-pelajar turut dijalankan di pusat ini.
“Pusat ini bertujuan untuk aktiviti konservasi dan menyediakan program pendidikan serta kesedaran awam khususnya kepada pelajar-pelajar dan masyarakat,” katanya.
spesis hidupan liar
Selain itu menurut Zainuddin, pusat tersebut turut menyediakan maklumat mengenai Kuala Gula terutamanya mengenai burung-burung laut dalam bentuk pameran dan diorama disediakan untuk kemudahan pelawat.
Ceramah dan tayangan video mengenai proses migrasi burung dan spesis hidupan liar lain di Kuala Gula boleh dilihat dan ditonton semasa kunjungan ke pusat tersebut.
Pemerhatian burung antara aktiviti paling utama di Kuala Gula dan lain-lain hidupan liar terutama pada bulan Ogos hingga April setiap tahun.
Waktu sesuai untuk pemerhatian burung ialah pada waktu air laut mulai pasang kerana pada waktu begini kebanyakan burung boleh dilihat di tepi air dan kawasan beting lumpur.
Malah aktiviti pemerhatian burung boleh dilakukan sama ada secara berjalan kaki sepanjang ban atau menaiki bot di sepanjang anak sungai dan beting lumpur.
Bot boleh disewa daripada penduduk tempatan atau calet berdekatan dengan harga berpatutan.
Bukan sahaja pemerhatian burung kelebihan Kuala Gula ialah memerhati kelip-kelip pada waktu malam juga antara aktiviti menarik.
Pelancong juga boleh melakukan aktiviti memancing pelbagai spesies ikan seperti kerisi (Nemipterus spp),duri (Arius spp) dan sembilang (Plotosus spp).
Seperti kawasan pelancongan lain usaha menjadikan Kuala Gula lebih istimewa dan terkenal perlu diperluaskan lagi oleh pihak tertentu termasuk kerajaan negeri.
Persatuan pencinta alam seperti Global Environment Centre (GEC) yang diketuai Balu Perumal dan kumpulannya antara persatuan aktif yang kerap kali turun membuat kajian, pemerhatian supaya kawasan ini tidak lagi terabai sehingga burung hijrah dan habitat dikawasan itu tiada lagi.
Malah Sahabat Hutan Bakau (SHB) sebagai komuniti nelayan di Kuala Gula yang diterajui Zakaria Mohamad, 50, memungkinkan persoalan ini terjawab. Begitu juga ahli Kelab Pencinta Alam(KPA) Kedah atas inisiatif pengerusinya, S. Kalaimani bersama pelajar yang juga ahli KPA SMK Teloi Kanan Baling diketuai Pengetuanya, Noriah Bahari dengan 200 ahlinya setiap bulan datang dengan perbelanjaan sendiri bagi menjayakan hasrat menyelamatkan kawasan hutan paya laut sejak tahun 2007 lagi.
Seperti kata S. Kalaimani, menjaga alam sekitar termasuk habitatnya sudah menjadi satu tanggungjawab besar terutama mendidik generasi muda seperti pelajar SMk Teloi Kanan ini.
Mampukah SHB, pelajar SMK Teloi Kanan bersama GEC ini bersendirian melakukan perubahan di Kuala Gula.
Penghuni alam di Kuala Gula perlu diselamatkan dan sudah sampai masanya mesej menjadikan alam lebih terjamin disahut oleh semua pihak.
Pencinta dan kajian mengenai spesis burung di kawasan itu boleh diperluas kerana dari segi geografinya mengapa kawasan ini telah menjadi lokasi persinggahan tetap burung dari kesejukan hemisfera utara.
Apakah bakau, kawasan paya laut, beting lumpur dan air pasang surut di Kuala Gula menjadi kelebihan burung hijrah ini? Kuala Gula perlu diangkat statusnya menjadi kawasan utama dunia mengenai spesies burung.



Laluan Burung

Dari segi ekologi, saintis mempercayai Tanjung Tuan merupakan jambatan bagi pengaliran baka flora dan fauna dari Tanah Besar benua Asia ke Kepulauan Indonesia.
Kawasan ini adalah dijadikan sebagai kawasan laluan yang sangat penting untuk perjalanan burng-burung berhijrah dari Benua Asia ke Kepulauan Indonesia.
Kawasan ini adalah dijadikan kawasan laluan yang sangat penting untuk perjalanan burung-burung berhijrah dari Benua Asia ke Selatan serta daripada Selatan balik ke Benua Asia.
Terdapat 54 spesies burung liar yang terdiri daripada burung tempatan dan burung berhijrah dan 3 spesies primate.
Antara tempat persinggahan burung-burung ini di benua Asia ialah:
  1. Moroshechnaya Estuary
  2. Yatsu Tidal Flats
  3. Yoshino estuary
  4. Shuangtaizi estuary
  5. Yello River Delta
  6. Mai Po - Inner Deep Bay
  7. Olango Island
  8. Wasur National Park
  9. Parry Lagoons
  10. Thompsons Lake
  11. Moreton Bay
  12. Koorangang Nature Res
  13. Corner Inlet
  14. Hongming Dongtan
  15. Yalu Jiang
  16. Yangcheng
  17. Tokyo Port Wild Bird
  18. Wstern Port
  19. Port Philip Bay
  20. Dalihu
  21. Kashima Shingomori
  22. Sungei Buloh
Burung layang-layang dari Sumatera datang dalam bulan Februari dan Mac. Sekitar 1800 hingga 2000 burung datang dalam sehari.
Antara burung yang singgah dalam laluan tersebut ialah

No comments: