Sempena bulan Syaaban dan malam Nisfu Syaaban, saya nukilkan beberapa hadis dari kitab Sahih Al-Bukhari dan kitab Al-Mutajir Ar-Raabih fi thawab Al-Amal As-Soleh karangan
Al-Hafiz Ad-Dimyaty. “Nisfu” bermakna separuh atau 14hb. Kitab Sahih
Al-Bukhari dan Sahih Muslim adalah rujukan paling utama dalam Islam
selepas Al-Quran.
Abdullah b Yusuf menyampaikan kepada kami, dari Malik, dari Abi
An-Nadr, dari Abi Salamah, dari Aisyah ra. dia berkata (bermaksud), “Adalah
Rasulullah saw berpuasa sehingga kami mengatakan dia tidak berbuka. Dia
saw berbuka sehingga kami mengatakan dia tidak berpuasa. Aku tidak
pernah melihat Nabi saw berpuasa penuh satu bulan melainkan (dalam
bulan) Ramadan. Aku tidak pernah melihat dia saw berpuasa lebih banyak
selain dari bulan Syaaban” (Hadis Sahih No. 1969 riwayat Imam Al-Bukhari).
Muaz bin Fadhalah menyampaikan kepada kami, dari Hisyam bin Yahya, dari
Abi Salamah, bahawa Aisyah ra meriwayatkan kepadanya dengan berkata, “Nabi
saw tidak pernah berpuasa dalam satu bulan lebih banyak dari bulan
Syaaban. [Nabi saw berpuasa bulan Syaaban semuanya – lafaz Al-Bukhari].
Nabi saw bersabda, “Beramallah dengan mengikut kemampuan kamu, kerana
sesungguhnya Allah tidak akan jemu sehingga kamu yang jemu (dulu –
pent)”. Aisyah ra menyambung, “Solat yang paling
disukai Nabi saw ialah solat yang dikerjakan berterusan walaupun
sedikit. Adalah Nabi saw apabila solat, dia mengerjakannya secara
konsisten” (Hadis Sahih No. 1970 riwayat Imam Al-Bukhari).
Abu Mikmar menyampaikan kepada kami dari Abdul Warith, dari Abu
At-Tayyah, dari Abu Uthman, dari Abu Hurairah ra. berkata (bahawa) kekasihku
(Nabi saw) telah mewasiatkan kepadaku 3 perkara (iaitu) puasa 3 hari
setiap bulan (13, 14 dan 15hb), 2 rakaat Dhuha dan Solat Witir sebelum
aku tidur”. (Hadis Sahih No. 60 riwayat Imam Al-Bukhari).
Abdullah bin Maslamah menyampaikaan kepada aku dari Malik, dari Ibnu
Syihab, dari Abi Salamah dan ayahku Abdullah Al-Agharry, dari Abu
Hurairah ra sesungguhnya Rasulullah saw bersabda (bermaksud) “Tuhanku
tabaaraka wa taala turun ke langit dunia setiap malam bila tinggal 1/3
akhir malam dan berfirman: Mana orang yang berdoa kepada aku, untuk Aku
memperkenankan doanya ? Mana orang yang meminta kepada Aku, untuk Aku
berikan kepadanya ? Mana orang yang memohon keampunan Ku, untuk Aku
mengampuninya ? (Hadis Sahih No. 1145 riwayat Imam Al-Bukhari).
Di dalam Hadis-hadis Sahih riwayat Imam Al-Bukhari di atas, tidak
disebut secara khusus puasa sunat hari Nisfu Syaaban ie. 14 atau 15hb
Syaaban, namun disebut secara khusus berpuasa sunat pada 13, 14 dan 15hb
setiap bulan yang mana termasuklah didalamnya hari pertengahan Syaaban
(nisfu Syaaban). Di dalam hadis Sahih Al-Bukhari diatas juga tidak
disebut secara khusus berqiamullail malam Nisfu Syaaban, tetapi disebut
berqiamullail disetiap malam, dan yang mana ini termasuklah malam
pertengahan Syaaban (nisfu Syaaban).
Adapun berqiamullail pada malam Nisfu Syaaban dan berpuasa pada siang
harinya, dengan secara khusus menyebut kalimat “Nisfu Syaaban”, status
hadis-hadisnya (sahih, hasan sahih, hasan, dhaif, maudhuk dll) adalah
menjadi perbincangan akademik para ulamak hadis. Jika tidak mencapai ke
tahap Sahih, ia tidak boleh dijadikan hujah Syarak, namun jika
dipadankan dengan Hadis-hadis Sahih riwayat Imam Al-Bukhari diatas, ia
boleh dijadikan panduan untuk Fadhail A’mal (Fadhilat-fadhilat Amal
Ibadah) dalam Islam. “Tiada halangan dibuat penyiasatan ilmiah yang
bersih dalam masalah khilaf dalam suasana kasih sayang di jalan Allah
dan bekerjasama kearah mencapai perkara yang sebenar, tanpa usaha
tersebut membawa kepada perdebatan yang tercela dan taksub” (Imam Hasan Al-Banna).
Kesimpulannya ialah bangun malam dan berpuasa 14hb Syaaban adalah
ibadah yang syarie jika tidak dikaitkan dengan bulan Sya’ban. Tetapi
jika dikaitkan dengan bulan Sya’ban, maka yang demikian itu adalah
bid’ah iltizamiah yang merupakan perkara yang boleh diperselisihkan dan
bukan bid’ah yang sesat.
Berikut adalah sebahagian hadis-hadis berkenaan Nisfu Syaaban dari kitab Al-Mutajir Ar-Raabih fi thawab Al-Amal As-Soleh karangan Al-Hafiz Ad-Dimyaty:
Dari Usamah b Zaid ra berkata, “Aku bertanya, ya Rasulullah. Aku
tidak pernah melihat engkau berpuasa dalam bulan-bulan lain sepertimana
engkau berpuasa dibulan Syaaban”. Rasulullah bersabda, “Ia
adalah bulan yang manusia lalai terhadapnya, diantara Rejab dan Ramadan.
Ia adalah bulan yang diangkat amalan-amalan kepada Tuhan sekelian alam,
maka aku suka amalanku diangkat sedang aku berpuasa” (riwayat An-Nasaie).
Dari At-Tarmizi dengan sanad-sanadnya dari Anas ra. dia berkata, “Nabi
saw ditanya apakah bulan selepas Ramadan yang terafdhal berpuasa”. Nabi
saw menjawab bermaksud, “Bulan Syaaban kerana untuk mengagungkan
Ramadan”. Nabi saw ditanya lagi, “Sedekah apakah yang terafdhal?”. Nabi
saw menjawab, “Sedekah dibulan Ramadan”. Kata At-Tarmizi, hadis ini hadis Hasan Sahih.
Dari Ibnu Majah dari Ali ra. dari Nabi saw bersabda bermaksud, “Apabila
tiba malam Nisfu Syaaban, lalu berqiyamullail pada malamnya, dan
berpuasa di siangnya, maka sesungguhnya Allah swt turun ke langit dunia
ketika matahari terbenam dan berfirman, “Adakah disana orang yang
memohon keampunan, lalu Aku mengampunkan dia ? Adakah di sana orang yang
memohon rezeki, lalu Aku memberi dia rezeki ? Adakah di sana orang yang
di beri ujian bala bencana, lalu Aku menyejahterakan dia ? Adakah di
sana … adakah di sana … ? sehingga terbit fajar”.
Dari Al-Baihaqy dengan sanad-sanadnya dari Aisyah ra. bahawa Nabi saw bersabda bermaksud, “Jibril
telah mendatangi aku dan berkata: Malam ini adalah malam Nisfu Syaaban.
Pada malam itu Allah membebaskan hamba-hamba dari siksaan Api Neraka
seramai bilangan kambing Bani Kalb (merentasi satu tempat) selama
sebulan. pada malam itu Allah tidak menoleh kepada orang yang melakukan
syirik, pengadu domba (kaki batu api), pemutus silaturrahim, penderhaka
kepada kedua ibu bapa dan orang yang ketagih arak”. Bani Kalb adalah kabilah Arab yang terbesar atau yang memiliki bilangan kambing yang terbanyak.
Akhir kata, Allahumma a’inni ala zikrika wa syukrika wa husni ibadatik (Ya Allah, bantulah aku untuk mengingati, mensyukuri dan beribadah kepadaMu). Ameen ya rabbal alameen.
Ustaz Halim INIJALANKU www.inijalanku.wordpress.com
No comments:
Post a Comment