KUALA LUMPUR - Kicauan 170 ekor burung murai dan merbah jambul yang beraksi pada pertandingan Seni Suara Burung 2015 di perkarangan Muzium Negara hari ini bagai mengalu-alukan kehadiran pengunjung.

Pertandingan julung kali anjuran muzium bersama Persatuan Seni Suara Burung Kuala Lumpur dan Selangor ini adalah sebagai langkah proaktif dalam usaha memelihara seni warisan tinggalan zaman dahulu, kata Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Kamarul Baharin A. Kasim.

"Selain menarik minat orang ramai mengenali spesis-spesis burung, pertandingan ini juga menjadi platform kepada penjinak, pemikat dan pencinta burung untuk  memperlihatkan kemahiran mereka di samping memperagakan keunikan dan keistimewaan tersendiri dari segi rupa, bentuk badan dan kemerduan suara burung.

"Pada masa dahulu, aktiviti memikat burung ini merupakan kesenian yang popular dalam kalangan masyarakat Melayu, namun aktiviti ini kini sudah menjadi minat dan hobi kepada kaum-kaum lain," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau mengharapkan pertandingan ini diteruskan dan diadakan di setiap muzium di seluruh negara agar seni warisan menjinak dan membela burung ini dapat didedahkan kepada masyarakat khususnya generasi muda.

Dalam pada itu, burung merbah jambul yang diberi nama 'Merah' membawa tuah kepada pemiliknya Mohd Rosdi Ibrahim, 36, apabila diumumkan sebagai juara kategori Merbah Jambul (Marathon) pada pertandingan hari ini.

"Syukur sangat cuaca panas hari ini sebab bila panas baru dia ada keluarkan bunyi dan saya tidak menjangka akan menang kali ini," katanya yang sudah lima tahun mula memikat dan menjinakkan burung.

Mohd Rosdi yang bekerja sebagai pekerja kilang kini sudah memiliki lima ekor burung merbah jambul dan seringkali menyertai pertandingan ini bagi mengisi masa lapangnya.

Selain kategori Merbah Jambul (Marathon), tiga lagi kategori dipertandingkan iaitu Merbah Jambul (Gaya), Murai Batu dan sangkar tercantik. - Bernama