Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia sebagai kesinambungan untuk meneruskan agenda memartabatkan ekonomi masyarakat luar bandar.

“Kesemua usahawan ini akan menawarkan pelbagai produk di samping sasaran melebihi satu juta pengunjung bagi tempoh lima hari penganjurannya.

“Sejak dianjurkan pada 2006, acara ini terbukti berjaya memainkan peranan untuk meluaskan akses pasaran dan promosi produk usahawan desa,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis pra pelancaran Karnival Usahawan Desa 2015, hari ini.

Menurutnya, KUD juga menjadi platform sebagai peluang pasaran baharu dalam meningkatkan daya saing kebolehan pasaran produk atau perkhidmatan usahawan luar bandar.

“Selaras dengan Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera, KUD 2015 memberi kelebihan kepada usahawan luar bandar seperti peluang perniagaan, penawaran pelbagai jaringan perniagaan dalam meluaskan rantaian nilai produk dan perkhidmatan,” katanya.

Selain itu katanya, KUD turut menawarkan sesi ‘Business to Business’ (B2B) di samping peluang untuk berjumpa dengan pemain dalam bidang perniagaan.

“Ramai antara mereka (pemain dalam bidang perniagaan) akan turut hadir seperti pasar raya terkenal, butik, syarikat pengangkutan, perniagaan stesen minyak dan rangkaian kedai serbaneka.

“Manakala, lebih 30 syarikat akan terlibat bagi sesi padanan perniagaan ini yang mana sebanyak lapan slot menarik bersama ikon dan selebriti perniagaan, usahawan muda dan usahawan warisan juga telah diatur rapi,” katanya.

Kata Ismail Sabri lagi, KUD melibatkan usahawan yang terdiri daripada tujuh sektor perniagaan utama iaitu pelancongan desa, kesihatan, herba dan produk organik, kosmetik, aksesori dan hiasan pakaian, kraf tangan, makanan dan minuman serta pertanian dan pertenakan.